By: Sweet n Spicy

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Wednesday, 2-Dec-2009 09:07 Email | Share | Bookmark
Juadah Hari Raya Haji

Nasi Briyani Dump
Dalca
Jelatah
Pajeri Nenas
Dah lama sungguh tak buat entry kat sini. Bukan tak sudi, tapi kadang2 masa terlalu pendek untuk kejar semua. Memang banyak entry yang pending. Entah, dah macam2 aktiviti kita buat sampai lupa mana yang belum di share lagi...

Untuk mengembalikan semangat berFP kembali, kita mulakan dengan deretan juadah hari raya haji baru2 ni. Serba ringkas jer... tak der mood nak mengetupat atau melemangkan diri... kita lari dari kebiasaan kita, mungkin tidak bagi orang lain.

Kali ni menu kita adalah Nasi Briyani Dump (orang sebut DAM) dan rakan2nya... jom layanzzzz....



Mulanya kita nak buat nasi arab tapi rempahnya tidak mencukupi. Korek2 dapur tu ada rempah briyani, tu yang tukar jadi nasi briyani.


Nasi Briyani Ayam

1 ekor ayam – potong kecil dan bersihkan
8 cawan beras basmathi – cuci, rendam 15 minit dan toskan
8 cawan air
2 helai daun pandan – bersihkan dan simpul
100 gm rempah briyani + sedikit air jadikan pes
1 cawan yogurt asli / tairu (susu cair + perahan limau nipis)
2 biji tomato – dadu
1 pokok daun ketumbar
Gajus/kismis (option kalau suka)
Garam secukup rasa

Bahan Tumis
2 biji bawang besar – dimayang halus
5 ulas bawang putih – dihiris halus
1 inci halia – diracik halus/tumbuk
Rempah tumis – buah pelaga, bunga lawang, kayu manis dan cengkih
250 gm minyak sapi

Panaskan minyak sapi dan masukkan bahan tumis dan goreng hingga wangi. Masukkan daun pandan dan pes rempah gaul rata hingga naik bau. Kemudian masukkan ayam. Gaul rata.
Masukkan air (boleh tambah sedikit lagi jika mahu) dan biarkan didih menggelegak baru masukkan yogurt. Tunggu hingga mendidih semula.
Masukkan beras yang telah ditoskan airnya. Gaul rata dan masak nasi hingga kering sedikit.
Masukkan tomato, daun ketumbar, gajus dan kismis. Biarkan nasi masak sepenuhnya.


Dalca juga adalah percubaan yang entah keberapa kali tapi Alhamdulillah, kali ini memang menjadi sungguh. Tukang komplen pun bagi 'two thumbs up'... semangat! semangat!


Dalca

300 gm daging
1 cawan kacang dhal – cuci dan rebus hingga empuk
1 biji terung panjang
4 biji terung bulat - potong baji
5 batang kacang panjang
1 biji lobak merah
2 biji kentang
2 biji tomato – belah 4
2 biji cili hijau hiris kasar
1 ½ cawan susu segar
Perahan asam jawa secukupnya
Garam secukup rasa

Bahan tumis
2 paket rempah kari - bancuh ngan sedikit air
2 pelepah daun kari
2 biji bawang besar – dihiris
4 ulas bawang putih - dihiris
3 cm halia - dihiris
Rempah tumis - kulit kayu manis, bunga cengkih, buah pelaga, bunga lawang
Minyak utk menumis

Cara Menyediakan
Bersihkan daging dan potong kecil-kecil.
Sayur-sayuran di potong mengikut selera.
Rebus kacang dal dan daging sehinga keduanya masak dan empuk.
Masukkan kentang dan lobak dan rebus sehingga empuk dan diikuti terung, kacang panjang dan tomato.
Tumis darat: Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan rempah tumis dan diikuti dengan bawang besar, halia dan bawang putih yang telah dihiris. Tumis sehingga naik bau.
Masukkan daun kari dan rempah kari daging, gaul rata. Masukkan asam dan garam. Tumis sehingga ia masak dan masukkan kedalam periuk rebusan daging dan sayur-sayuran. Kacau hingga sebati.
Masukkan susu dan masak sehingga mendidih dan rasakan garamnya.


Jelatah ni sapa pun buleh buat, tak der hal punya kan...


Jelatah

1 batang timun jepun – potong mengikut selera
1 batang kecil lobak merah – hiris memanjang
1 biji tomato - hiris nipis
1 biji bawang besar – hiris
2 biji cili merah – hiris sesuai selera
1 sudu besar udang kering – rendam sebentar dan tumbuk lembut
cuka, garam dan gula secukup rasa

Campurkan semua bahan dan perap selama lebih kurang 15 minit sebelum dihidang.


Pajeri nenas stail macam ni mmg popular di sebelah selatan. Tidak menggunakan rempah. Pertama kali dapat sesuai dengan selera setelah mencuba beberapa kali.


Pajeri Nenas

Bahan A:
1 biji nenas mengkal, kupas dan potong kecil
2 biji cili merah – potong sesuai rasa
1 biji bawang - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 cm halia - dihiris
2 sudu teh serbuk kunyit
2 sudu kecil udang kering – rendam dan tumbuk lembut
2 sudu kecil biji sawi
1 1/2 sudu besar Cuka
Air
Gula dan Garam secukup rasa

Bahan B - Penumis:
1 batang (anggaran 2 inci) kulit kayu manis
3 biji bunga cengkih
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang

Cara menyediakannya:
Rebus nenas hingga layu. Saringkan airnya.
Tumis B hingga wangi dan masukkan bahan hiris, serbuk kunyit, biji sawi, udang kering dan tumis hingga keperangan.
Masukkan nenas, cili dan sedikit air, biarkan mendidih.
Masukkan cuka, gula dan garam secukupnya.
Renihkan sebentar sebelum dihidang.


View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net